Friday, August 6, 2021

KEPENTINGAN MENGAMALKAN PEMAKANAN SEIMBANG (Karanga Pt3)

    Hal-hal yang berkaitan dengan pemakanan seimbang kerap ditekankan oleh pegawai perubatan apabila merawat pesakit. Kajian menunjukkan bahawa kebanyakan masyarakat di negara kita tidak mengamalkan pemakanan seimbang. Pada pendapat saya, isu pemakanan seimbang tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat. Terdapat beberapa sebab mengapa kita perlu mengamalkan pemakanan seimbang.


    Pemakanan seimbang membolehkan kita hidup sihat sepanjang hayat. Pemakanan seimbang akan menjadikan tubuh kita membesar dalam keadaan yang sihat dan normal. Jika badan kita sihat, kita dapat menjalani kehidupan seharian dengan lebih lancar dan ceria. Mutu kerja yang kita lakukan juga akan menjadi lebih baik dan berkualiti.

    Selain itu, pemakanan yang seimbang juga membolehkan kita terhindar daripada pelbagai jenis penyakit berbahaya. Antara penyakit berbahaya yang sering menyerang kita disebabkan pemakanan yang tidak seimbang ialah kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung. Sebagai contoh, jika kita makan gula dalam kuantiti yang terlalu banyak, maka kandungan gula dalam badan kita akan berlebihan sehingga boleh menyebabkan kita mendapat penyakit kencing manis. Memakan makanan yang mengandungi minyak dan lemak yang berlebihan pula boleh menyebabkan kita mendapat penyakit darah tinggi.

    Pemakanan seimbang juga dapat membantu kita mengelakkan pembaziran wang kerana sikap membazir adalah sikap yang tidak baik. Oleh itu, jangan membazir dengan memakan makanan yang mahal harganya tetapi kurang berfaedah untuk badan kita. Sebagai contoh, badan kita hanya memerlukan kuantiti daging yang sedikit sahaja dalam pemakanan seharian. Oleh itu, kita tidak perlu makan di restoran yang menjual daging yang mahal harganya.

    Pemakanan seimbang juga membolehkan kita mengelakkan masalah kegemukan atau obesiti. Masalah kegemukan terjadi apabila kita makan secara berlebihan setiap hari. Antara makanan yang boleh menyebabkan kegemukan ialah nasi. Oleh itu, jangan makan nasi dalam kuantiti yang banyak kerana ia boleh menyebabkan masalah kegemukan yang akan menyebabkan pergerakan badan menjadi lambat.

    Jika kita mengamalkan pemakanan seimbang, tubuh badan kita juga akan kelihatan cantik. Penampilan kita juga tidaklah menjadi buruk seperti perut menjadi buncit dan paha pula akan kelihatan besar. Kulit muka kita juga tidak akan berminyak dan ditumbuhi jerawat. Manakala rambut kita juga akan tumbuh dengan lebat dan hitam.

    Sebagai kesimpulan, terdapat beberapa kebaikan jika kita mengamalkan pemakanan seimbang. Justeru, pemakanan seimbang perlu diamalkan sejak kecil lagi. Pada pendapat saya, Kementerian Kesihatan perlu mengadakan kempen pemakanan seimbang secara intensif agar masyarakat mengamalkan pemakanan yang seimbang. Dengan amalan pemakanan yang seimbang, saya pasti tahap kesihatan masyarakat akan bertambah baik dan seterusnya mereka dapat membantu memajukan negara pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment

Online shopping

  Online shopping has become a popular trend in recent years, with more and more people opting to purchase goods and services online. This m...